Monday, January 10, 2011

Tingkatan 1: Cerpen Kasut Kelopak Jantung


Sinopsis
            Tanggal 16 Mei, Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan yang berisi sepasangan kasut yang mahal. Walaupun Cikgu Harun sudah dapat mengagak siapa pengirim bungkusan tersebut, beliau tidak pasti sama ada pengirimnya benar-benar ikhlas atau hendak menyindirnya. Hadiah tersebut telah membangkitkan ingatan Cikgu Harun ketika beliau mengajar murid darjah tiga di sebuah sekolah luar bandar, tiga puluh tahun dahulu.
                Setelah menerima ucapan selamat pagi daripada murid-murid, Cikgu Harun memarahi Ahmad. Ahmad tahu akan kesalahannya yang tidak memakai kasut ke sekolah. Perasaan Ahmad bercampur baur antara takut dengan malu. Bagi Cikgu Harun, dia terpaksa bertindak demikian supaya Ahmad mendesak ibu bapanya agar membelikan kasut sekolah untuknya. Lagipun Cikgu Harun tidak mahu murid-murid yang lain mencontohi sikap Ahmad yang tidak memakai pakaian seragam yang lengkap ke sekolah.
                Kemarahan Cikgu Harun memuncak lagi apabila Ahmad tidak memakai pakaian pendidikan jasmani. Cikgu Harun memungut beberapa keping kelopak jantung pisang yang bertaburan di tepi pagar lalu menyuruh Ahmad mengikatnya dengan tali rafia pada kedua-dua belah kakinya dengan pesanan jangan menanggalkan kasut baharunya itu sehingga dia telha membeli kasut sekolah. Ahmad menangis kerana ditertawakan oleh kawan-kawan sekelasnya. Dia berlari pulang ke rumah apabila lonceng sekolah terakhir berbunyi. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah lagi. Cikgu Harun mulai rasa bersalah. Beliau mengambil keputusan untuk ke rumah Ahmad.
                Kedatangan Cikgu Harun di sambut oleh Ibu Ahmad. Ahmad tiada di rumah kerana mengambil upah memetik cili di sebuah kebun sayur. Beberapa minit kemudian, Cikgu Harun ternampak kelibat Ahmad di belakang rumah. Cikgu Harun menangis kerana kasut kelompak jantung masih terlekat pada tapak kaki Ahmad. Cikgu Harun menunggang motosikal ke pekan yang berdekatan untuk membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan sepasang kasut sekolah untuk Ahmad.
                Cikgu Harun menyerahkan pakaian dan kasut yang baharu dibelinya itu kepada Ahmad sambil berpesan kepada Ahmad supaya kembali ke sekolah. Cikgu Harun kemudian membuka ikatan kasut kelopak jantung yang berjurai-jurai di kaki Ahmad.
                Setelah tamat persekolahan, Ahmad bekerja sebagai penjual pakaian dan kasut di pasar malam dan setelah itu bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Dialah yang mengirimkan bungkusan yang berisi kasut itu kepada Cikgu Harun.

Tema : Tanggungjawab guru terhadap muridnya.

Persoalan:
a) Kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
b) Kepatuhan dan kesetiaan murid kepada guru.
c) Sikap tolong-menolong membawa berkat.
d) Kegigihan faktor kejayaan.

Watak dan Perwatakan
Ahmad
-          Berusia 9 tahun dan murid darjah tiga.
-          Daripada keluarga miskin dan tinggal di sebuah pondok usang.
-          Gigih – berjalan di atas batu kerikil tanpa memakai alas kaki ke sekolah.
-          Lurus bendul – tidak menanggalkan kasut kelopak jantung sebelum memiliki kasut yang baharu.
-          Rajin – mengambil upah memetik cili di sebuah kebun sayur.
-          Patuh – kembali ke sekolah setelah memiliki baju seragam dan kasut sekolah yang baru.
-          Mengenang jasa guru – mengirimkan sepasang kasut yang mahal kepada Cikgu Harun pada setiap tahun

Cikgu Harun
-          Guru disiplin yang bersifat bengis tetapi bertimbang rasa
-          Berasal dari bandar
-          Pernah mengajar di sebuah kampung di kawasan pedalaman tiga puluh tahun yang lalu
-          Tegas – mendidik murid-murid agar berdisiplin dan patuh pada peraturan sekolah.
-          Insaf – berasa bersalah apabila Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu.
-          Baik hati – membelikan sepasang baju sekolah dan kasut sekolah untuk Ahmad.

Latar
a) Tempat : - Sebuah sekolah di kawasan luar bandar.
                    - Kelas darjah tiga.
                    - Rumah Cikgu Harun

                   - Rumah Ahmad yang terletak di hujung kampung di sebuah kawasan pedalaman.

b) Masyarakat : - Penduduk kampung yang miskin – bekerja sebagai petani, pesawah dan penoreh getah.
                          - Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman – masih mundur kerana kurang prasarana, contohnya jalan raya yang tidak berturap.
                           
c) Masa : Pada sebelah malam -  Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan setelah balik dari surau. Bungkusan itu telah berada di rumahnya lebih awal lagi.
                                                 
              : Imbas kembali – peristiwa berlaku 30 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1980-an.

Gaya Bahasa
a) Simile – tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung; berjalan macam lembu sakit kaki; kakinya  macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik; bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoroknya.
b) Metafora – membatukan diri; hatinya yang terhiris
c) Repetasi – Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang usang.
d) Kata-kata puitis – membiarkan dirinya hanyut dalam arus ingatan; kesabaran masih tersisa dalam  jiwanya; kata yang terlontar melewati bibir kering Ahmad.
e) Peribahasa  -  Anak-anak kampung itu sememangnya lebih selesa berkaki ayam waktu itu; Kadang
                       -  kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul; Dia mula terasa Ahmad itu berkecil hati.

Nilai : a) Kerajinan – Ahmad berusaha bersungguh-sungguh kerana tidak mahu mewarisi kemiskinan keluarga.
           b) Berdikari – Ahmad bekerja memetik cili di kebun sayur kerana hendak membantu keluarga yang miskin.
           c) Baik Hati – Cikgu Harun membeli sepasang baju seragan dan kasut sekolah untuk Ahmad supaya dia dapat belajar dengan selesa.
           d) Semangat bermasyarakat – Cikgu Harun membantu Ahmad kerana mahu Ahmad berjaya dalam pelajaran dan keluar daripada belenggu kemiskinan.
            e) Pemaaf – Ahmad menerima pemberian Cikgu Harun dan dia ke sekolah kerana tidak menyimpan perasaan dendam.
            f) Mengenang Budi – Ahmad mengirimkan sepasang kasut kepada Cikgu Harun kerana hendak membalas budi baik Cikgu Harun terhadapnya tiga puluh tahun yang lalu.

Pengajaran : a) Kita hendaklah berusaha dengan gigih supaya dapat mencapai kejayaan dalam hidup.
          b) Kita hendaklah bersikap dermawan supaya dapat meringankan kesusahan orang lain.
          c) Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain supaya hidup kita gembira.
          d) Kita hendaklah membalas budi baik yang telah kita terima supaya hubungan silaturrahim berpanjangan.
          e) Guru-guru hendaklah berusaha mendidik murid-murid kerana mereka merupakan negara yang berharga.

Soalan Praktis :
1. Frasa membatukan diri ialah gaya bahasa
A. simile                      C. hiperbola
B. metafora                  D. peribahasa

2. Plot permulaan bagi cerpen ini ialah
A. Posmen menghantarkan sebuah bungkusan ke
    rumah Cikgu Harun.                       
B. Cikgu Harun memarahi Ahmad kerana tidak
     memakai kasut.
C. Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan
     sebaik sahaja beliau sampai di rumah.
D. Ahmad mengacu kelopak jantung pisang pada
     tapak kakinya kemudian diikat dengan tali
     rafia.          
 
Sebelum itu Ahmad memakai selipar Jepun lusuh ke sekolah. Selepas selipar itu putus, Ahmad hanya berkaki ayam


3. Nyatakan nilai yang terdapat dalam petikan di atas?
A. kegigihan                C. kesyukuran
B. keyakinan               D. keberanian

4. Apakah persoalan yang terdapat dalam cerpen di atas?
A. Nasib manusia ditentukan oleh Tuhan
B. Hidup mesti bijak menyelesaikan masalah
C. Pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan
D. Kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya

3 comments:

  1. can send it's answer for me???
    My email address:tracy19982010@hotmail.com

    ReplyDelete
  2. layan KASUT KELOPAK JANTUNG versi filem pendek plak.. BEST!!!!

    http://www.youtube.com/watch?v=sVPpzMp4y3c

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete